mutakhir

5 lagi positif Covid-19 di Sarawak

Oleh Mohd Roji Kawi

LIMA belas lagi kes baharu positif pandemik Covid-19 direkodkan di Sarawak hari ini.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan disahkan dijangkiti wabak ini di negeri ini kepada 327 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac lalu.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, daripada jumlah itu, 14 kes dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS) manakala satu lagi di Hospital Bintulu.

“Hari ini, 254 kes baharu individu dalam siasatan (PUI) dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan 2,259 kes.

“Daripada jumlah itu, 1,696 kes adalah negatif dan 327 kes PUI masih menunggu keputusan makmal,” katanya.

Beliau berkata, statistik kes PUI baharu mengikut daerah menyaksikan Kuching dengan jumlah tertinggi iaitu 194 kes diikuti Samarahan (16), Bau (11), Simunjan (11), Serian (6), Bintulu (5), Belaga (4), Miri (4), Lubok Antu, Betong dan Kapit masing-masing satu kes.

Sementara itu, beliau berkata, program sanitasi awam terus dilaksanakan di seluruh negeri membabitkan 2,122 petugas daripada pelbagai agensi khususnya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Beliau berkata, tumpuan operasi nyah cemar itu diberikan di Zon Merah dan Zon Jingga termasuk di balai polis.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 10, 2020 @ 7:56pm
    d