mutakhir

KPDNHEP Selangor terima 867 aduan

Oleh Norzamira Che Noh

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menerima 867 aduan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac hingga 9 April.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, aduan berkaitan harga dan tiada tanda harga paling banyak diterima.

“Sepanjang tempoh PKP, pelbagai aduan kita terima; bagaimanapun, aduan membabitkan harga seperti harga tinggi, tiada tanda harga paling banyak iaitu 46.83 peratus atau 406 kes daripada 867 kes.

“Aduan lain yang kita terima

membabitkan kehabisan bekalan seperti topeng muka, roti serta berkaitan timbangan.

“KPDNHEP Selangor kesal dengan tindakan beberapa peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang keperluan ketika tempoh PKP,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Sementara itu, KPDNHEP Selangor turut menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi melihat dan memantau situasi bekalan makanan serta keperluan pengguna sepanjang tempoh PKP.

“Hasil pemeriksaan yang kita lakukan di sekitar Shah Alam, Klang dan Puchong pada Khamis lalu mendapati bekalan makanan serta keperluan harian berada dalam keadaan stabil dan mencukupi.

“Bekalan keperluan seperti barangan basah, beras, telur, gula, tepung gandum, minyak masak dan pelbagai barangan keperluan lain adalah mencukupi,” katanya.

Beliau berkata, pengguna juga tidak lagi membuat pembelian panik kerana menyedari bekalan makanan dan keperluan adalah mencukupi.

Jelasnya, kebanyakan pasar raya juga komited memastikan bekalan makanan dan keperluan mencukupi untuk pengguna selain inisiatif bagi memastikan pengguna berada dalam situasi selamat serta terkawal.

Selain itu, Muhamad Zikril mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan dengan tidak munasabah dalam tempoh PKP ini bagi mengelakkan tindakan diambil mengikut Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 11, 2020 @ 10:55am
    d