mutakhir

Zoo Melaka wujud tabung khas

Oleh BERNAMA

ZOO Melaka mewujudkan tabung bantuan khas untuk mengumpul dana bagi menampung perbelanjaan keperluan bekalan makanan di taman haiwan itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Shadan Othman berkata, tabung yang diberikan nama ‘Tabung Sumbangan Zoo Melaka’ dilancarkan 4 April lalu dan sehingga kini berjaya mengumpul dana berjumlah RM6,000.

“Tempoh PKP memberi cabaran kepada kami untuk mengendalikan Zoo Melaka kerana ia tidak dibuka kepada pengunjung demi keselamatan orang awam dan haiwan yang berada di taman ini, sedangkan sebahagian pendapatan Zoo Melaka bergantung kepada penjualan tiket.

“Bagi kos makanan sahaja kami memerlukan RM180,000 sehari untuk 650 haiwan.. Dengan adanya tabung ini, kami harap orang ramai dapat menyumbangkan bantuan kepada Zoo Melaka,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan Zoo Melaka hari ini.

Turut hadir Pengarah Zoo Melaka dan Taman Burung Zanariah Khamis dan Ketua Jabatan Zoologi, Zoo Melaka dan Taman Burung Azman Ghazali.

Orang ramai yang ingin memberi bantuan bagi Tabung Sumbangan Zoo Melaka, boleh menyalurkannya ke dalam akaun CIMB Bank Zoo Melaka atas nama Zoo MPHTJ bernombor akaun 8009600869.

Beliau turut mempelawa syarikat swasta, badan kerajaan dan individu seluruh negara untuk menjadikan haiwan di taman itu sebagai haiwan angkat dalam usaha memastikan bekalan makanan, perubatan dan pengurusan haiwan itu dilakukan secara berterusan.

Katanya, walaupun dalam tempoh PKP, pengurusan Zoo Melaka berjalan seperti biasa, selain proses nyah kuman, pembersihan atau sanitasi akan diadakan setiap tiga hingga empat hari sekali.

“Zoo Melaka mempunyai 32 penjaga zoo dan sebelum memulakan tugasan kami akan pastikan mereka sihat dengan melakukan saringan kesihatan serta perlu membersihkan tangan dengan ubat pembasmi kuman.

“Sekiranya penjaga zoo demam, kami tidak akan membenarkan mereka bekerja dan menyentuh haiwan,” katanya.

Zoo Melaka ditubuhkan pada 1963 dan zoo kedua terbesar di Malaysia, menempatkan kira-kira 650 haiwan daripada 150 spesies yang berlainan dari seluruh dunia selain berperanan sebagai pusat pemuliharaan, penyelidikan dan pendidikan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 11, 2020 @ 11:14am
    d