mutakhir

Lorong tikus ke Baling ditutup

Oleh Safuri Kamarudin

POLIS menutup beberapa laluan tikus bagi menghalang orang luar daripada memasuki daerah Baling sejak semalam dalam usaha mengekang penularan pandemik wabak Covid-19.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, pihak polis menutup laluan dikenal pasti itu selepas daerah Kuala Muda (Sungai Petani) dan Kulim diletakkan sebagai Zon Merah virus berkenaan.

“Orang ramai tidak boleh lagi melalui jalan tikus ini bagi mengelakkan mereka diperiksa dalam sekatan jalan raya.

“Polis bertindak tegas bagi membendung penularan wabak itu dan semua kenderaan akan diperiksa jika mereka mahu ke Sungai Petani dan Kulim,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syed Basri berkata, semua jalan tikus ditutup supaya orang luar tidak boleh menceroboh masuk ke daerah ini.

“Mana-mana mereka yang hendak masuk mesti ikut jalan utama yang ada sekatan pemeriksaan.

“Kita akan periksa betul-betul supaya yang layak dari segi kesihatan dan dibenarkan masuk ke daerah ini,” katanya.

Selain itu, katanya, Jalan Gulau ke Sik melalui Tanjung Pari juga ditutup sejak semalam dan orang ramai perlu menggunakan Jalan Batu Lima ke Parit Panjang sekiranya ingin masuk ke Baling.

“Polis akan perketatkan semua pintu masuk ke Baling kerana keadaan di daerah ini masih terkawal. Sehingga ini seramai 25 orang ditahan kerana ingkar PKP dan sudah dituduh di mahkamah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 11, 2020 @ 1:22pm
    d