mutakhir

Rindu hingga mimpi ibu bapa

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

“SETIAP hari terfikir nak pulang ke kampung sehingga termimpi ibu bapa. Namun, saya akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),”

Itu kata penuntut jurusan kejuruteraan Mekanikal Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Shafiq Roslan, 21, yang tidak dapat pulang ke Sarawak disebabkan PKP yang sedang dikuatkuasakan.

Menurut Shafiq, dia tidak dapat pulang ke kampung sebelum PKP kerana harga tiket terlalu mahal.

“Kini PKP pula, jadi terpaksa tinggal di kampus dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk tidak mewujudkan kluster jangkitan Covid-19 baharu.

“Bagi melepaskan kerinduan saya menghubungi keluarga setiap hari melalui panggilan video telefon,” katanya.

Seorang lagi penuntut yang juga Majlis Eksekutif Pelajar Kolej Pendeta Za’ba UKM, Nur Syahira Syamimi Razali, 22, berkata, dirinya turut terkesan dengan pandemik Covid-19 dan PKP yang sedang dikuatkuasakan.

Bagaimanapun, katanya, pihak universiti sentiasa menjaga kebajikan penuntut sepanjang tempoh PKP.

“Namun, saya meminta supaya Kerajaan dapat mencari jalan penyelesaian untuk membawa pulang penuntut ke kampung kerana ingin menyambut bulan Ramadan bersama keluarga.

“Ramadan akan tiba tidak lama lagi, jika keadaan ini berterusan, kami akan berasa sangat sedih kerana tidak dapat menyambut bulan puasa bersama keluarga,” katanya.

Sementara itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UKM, Arif Fahmi Khairul Azli, 21, berkata, sejak PKP dilaksanakan masih ramai penuntut universiti awam (UA) dan swasta yang berada di dalam kampus.

“Nasib penuntut yang terkandas di dalam kampus satu perkara yang tidak boleh dipandang enteng kerana semua institusi pengajian tinggi mengawal pergerakan keluar masuk kampus dengan ketat.

“Malah di sesetengah universiti, perkhidmatan Pos Laju dan penghantaran barangan tidak dibenarkan masuk ke dalam kawasan kampus,” katanya.

Arif Fahmi berkata, walaupun pihak universiti menanggung makan dan minum penuntut, mereka sudah mula berasa sayu dan tertekan.

“Rutin harian yang sama sejak lebih tiga minggu yang lalu mula memberi kesan buruk kepada tahap kesihatan mental mereka.

“Lebih buruk lagi, gangguan emosi yang tidak stabil akan mengakibatkan mereka kemungkinan bertindak agresif untuk mencari jalan bahaya pulang rumah secara haram,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 11, 2020 @ 1:57pm
    d