mutakhir

Tidak lepas peluang derma darah [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

“MEMANG setiap tiga bulan saya akan menderma darah. Apabila dimaklumkan ada program menderma darah hari ini, saya tidak lepaskan peluang walaupun terpaksa melalui sekatan jalan raya,” kata Mohd Redzuan Idris dari Kampung Alor Pasir, di sini.

Mohd Redzuan, 34, yang mula menderma darah sejak 2007 berkata, aktiviti itu dianggapnya sebagai tanggungjawab namun sukar buatnya serta ramai lagi penderma untuk membantu tabung darah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dia yang ditemui pada program menderma darah anjuran Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dengan kerjasama pengurusan Dewan Mak Jah, Pasir Pekan di sini, lega kerana dapat terus menderma darah.

“Saya mengetahui berkenaan program hari ini menerusi kumpulan aplikasi WhatsApp.

“Sehingga kini, saya sudah 23 kali menderma darah dan kali terakhir ialah pada Januari lalu,” katanya.

Mohd Redzuan antara lebih 50 penderma darah yang hadir bagi membantu tabung darah HRPZ II.

Penganjur merangkap pemilik Dewan Mak Jah, Siti Rokiah Mohamed, 63, berkata, inisiatif itu diambil sebaik mengetahui HRPZ II memerlukan bekalan darah.

“Saya serta sembilan anak segera menguruskan lokasi dan segala keperluan berkaitan untuk program ini.

“Sasaran kami hanya 30 penderma namun jumlah yang hadir di luar jangkaan. Terima kasih kepada semua penderma,” katanya yang juga pesara guru.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 11, 2020 @ 2:26pm
    d