mutakhir

Dua lelaki ditahan pecah kedai ketika PKP

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

DUA lelaki mengambil kesempatan ketika arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memecah masuk premis perkakasan di Bandar Universiti, Seri Iskandar pada 3 April lalu.

Bagaimanapun, mereka berusia 22 dan 24 tahun berjaya ditahan di dua lokasi di sekitar Seri Iskandar antara jam 1.30 hingga 2.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, suspek dipercayai memecah masuk premis berkenaan sebelum melarikan beberapa barangan termasuk wang tunai RM600.

Menurutnya, kejadian itu disedari pemilik selepas dimaklumkan pekerjanya yang datang untuk membuka kedai selepas dibenarkan beroperasi mengikut hari dan masa yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Katanya, suspek berusia 24 tahun ditahan polis yang menjalankan tugas Op Covid-19 selepas berlaku pergelutan.

“Pemeriksaan lanjut menemui sebilah pisau berserta sarung warna hitam yang diselit di belakang pinggang suspek dan seunit lampu suluh diikat bersama kunci kereta.

“Selain itu, turut ditemui satu set allen key, seunit pemutar skru di dalam poket seluar suspek yang disyaki digunakan untuk mencuri motosikal dan memiliki alat pecah rumah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Barudin berkata, susulan penahanan itu, polis menahan seorang lagi lelaki di tingkat atas sebuah rumah kedai di Seri Iskandar pada hari sama.

“Hasil pemeriksaan menemui beberapa barangan yang masih ada tanda harga termasuk dua pisau lipat, sebilah parang panjang dan lima gunting.

“Selain kes pecah masuk premis, kedua-dua suspek juga disyaki terbabit dalam dua kes curi motosikal di Bandar Universiti, Seri Iskandar,” katanya.

Menurutnya, semakan juga mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah termasuk kes dadah.

Katanya, suspek direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 28(1)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

“Selain itu, mereka juga didapati melanggar PKP mengikut Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan),” katanya.

Sementara itu, Barudin berkata, seramai lapan individu dikompaun RM1,000 kerana ingkar PKP pada kelmarin dan semalam di sekitar daerah Perak Tengah.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 11, 2020 @ 2:38pm
    d