mutakhir

Agong zahir sokongan PKP dilanjutkan [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan sokongan terhadap keputusan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda menitahkan rakyat supaya mematuhi arahan terkini dikeluarkan agensi kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19.

"Ia membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi tumpuan khusus kepada kumpulan sasar yang dikenal pasti menjadi punca penularan wabak.

"Apa yang penting pandemik ini dapat diakhiri agar rakyat dapat menjalani kehidupan seperti biasa, sihat dan sejahtera," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar rakyat terus bersabar dan tabah menghadapi dugaan dengan tatacara kebiasaan baharu.

"Rakyat dinasihatkan sentiasa berwaspada, menjaga kebersihan diri, amalkan penjarakan sosial dan elakkan dari menghadiri sebarang perhimpunan serta tempat sesak," katanya.

Katanya, Istana Negara turut dinasihatkan KKM supaya tidak menganjur atau menghadiri sebarang bentuk majlis dan tahlil bersempena Ramadan akan datang demi keselamatan serta mengelak risiko.

Beliau berkata, Seri Paduka Baginda menasihati umat Islam di negara ini supaya menyambut bulan Ramadan dengan menumpukan amal ibadat, berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT bagi mengharungi ujian di samping sentiasa mengambil berat keselamatan, kesihatan diri, keluarga serta komuniti.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 11, 2020 @ 4:01pm
    d