mutakhir

Gajah pun 'boring' kalau tak buat apa-apa

Oleh Mohd Rafi Mamat

SETIAP hari, 31 gajah di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang di sini, dibawa berjalan-jalan selain dimandikan bagi memastikan haiwan berkenaan sentiasa dalam keadaan memuaskan.

Walaupun pusat itu ditutup kepada pengunjung, 20 kakitangannya bergilir melaksanakan tugas berkenaan.

Ketua PKGK Kuala Gandah Lanchang, Muhammad Khairul Adha Mat Amin berkata, sifat semula jadi gajah ialah, setiap hari, ia perlu berjalan di kawasan terbuka dan di hutan.

“Sekiranya tidak berbuat demikian atau melakukan sebarang aktiviti, tahap kesihatan gajah akan terjejas,” katanya.

Menurut beliau, pada waktu siang, gajah perlu bergerak selain makan dan sekiranya cuaca, ia perlu mandi di sungai selama 10 hingga 15 minit.

“Setiap aktiviti gajah dikawal oleh seorang gembala bersama dua pembantu.

“Gajah diberi makan buah-buahan dan beberapa jenis makanan mengikut sukatan ditetapkan. Bagi yang tidak sihat, rawatan diberikan oleh pegawai perubatan,” katanya.

Menurut beliau, walaupun tiada aktiviti bersama pengunjung namun gajah perlu menjalani kegiatan harian seperti sebelum ini.

Muhammad Khairul Adha berkata, kehadiran pengunjung tempatan dan luar negara ke PKGK Kuala Gandah sentiasa bertambah setiap tahun.

“Tahun lalu, lebih 170,000 pengunjung datang untuk menyaksikan persembahan gajah di pentas utama sambil memberinya makan.

“Pengunjung berpeluang melihat pameran di galeri gajah seterusnya mandi bersama anak gajah berkenaan di sungai.

“PKGK Kuala Gandah yang beroperasi setiap hari sebelum ini adalah produk pelancongan bertaraf antarabangsa dan terkenal di banyak negara,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 11, 2020 @ 4:37pm
    d