mutakhir

Bersabarlah dulu - KP Kesihatan [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi

CADANGAN Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang mahu penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dibenarkan pulang akan diteliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas data terkini diperoleh dalam tempoh seminggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga dilaksanakan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negara sedang memasuki fasa penting iaitu PKP fasa ketiga di mana perlu diperketatkan lagi kawalan bagi menurunkan unjuran kes.

Menurutnya, kes Covid-19 boleh diturunkan jika semua rakyat Malaysia bersama membantu KKM untuk memperketatkan tindakan fasa satu dan fasa kedua.

“Semoga tindakan fasa ketiga juga kita akan berjaya untuk mengurangkan kes.

“KKM menasihatkan kepada KPT bersabarlah dulu seminggu dua sebelum keputusan membenarkan penuntut pulang ke rumah,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, jika KKM ada data terkini untuk tempoh seminggu PKP fasa ketiga dilaksanakan, pihaknya boleh memberi nasihat kepada KPT sama ada penuntut dibenarkan pulang atau tidak.

“Saya pasti ramai yang terkesan dengan PKP fasa satu dan dua namun apa yang penting kita sedang berjuang. Kita masih belum menang tetapi apa yang penting ada tanda kejayaan menurunkan kes.

“Antara tindakan yang kita laksanakan pada fasa pertama dan kedua menunjukkan kejayaan menurunkan kes adalah kawalan sempadan, PKP, larangan perhimpunan dan amalan penjarakan sosial,” katanya.

Beliau berkata, KKM nasihatkan supaya tindakan kawalan pada PKP fasa satu dan dua terus diperketatkan pada fasa ketiga.

“Jadi perancangan kita ketika ini juga kena lihat selepas fasa ketiga.

“Perancangan bermula dari sekarang untuk dan yang penting kita mesti memantau daripada data harian untuk melihat sama ada mencapai unjuran KKM mengurangkan kes Covid-19 di negara ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 11, 2020 @ 6:11pm
    d