mutakhir

Sektor tambahan dibenar operasi boleh mohon esok

Oleh Rafidah Mat Ruzki

PEMILIK dan pengurusan syarikat dalam sektor tambahan yang boleh beroperasi semula secara berperingkat-peringkat seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jumaat lalu, boleh membuat permohonan bermula jam 9 pagi esok.

Makluman melalui laman sosial Facebook Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, hari ini memaklumkan, permohonan itu adalah secara digital sepenuhnya dan perlu dibuat pada laman sesawang Kementerian di www.miti.gov.my.

Berdasarkan kepada hantaran itu, pemilik dan pengurusan syarikat tidak perlu memuatnaik sebarang dokumen.

Namun, mereka disarankan untuk menyediakan empat maklumat berkaitan syarikat terlebih dahulu, terutama maklumat pekerja.

Ia terdiri daripada maklumat pendaftaran syarikat termasuk nombor Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), nombor lesen keutamaan dan nombor lesen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT); alamat surat menyurat dan operasi syarikat; anggaran pendapatan syarikat untuk 2017, 2018 dan 2019.

Mereka juga perlu menyatakan bilangan pekerja tetap syarikat, maklumat setiap pekerja termasuk nama, kad pengenalan, nombor telefon atau maklumat pengenalan lain serta sifat atau skop kerja di syarikat masing-masing.

Pemilik dan pengurusan syarikat juga diingatkan untuk mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum boleh beroperasi semula.

Jumaat lalu, Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, pihak syarikat dalam sektor yang dibenarkan beroperasi itu wajib mematuhi

syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, selain pematuhan terhadap syarat dan garis panduan yang diperketatkan, kebenaran beroperasi juga tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang

ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan garis panduan oleh agensi penguatkuasaan lain yang berkaitan, dari semasa ke semasa.

Beliau dipetik berkata, kegagalan syarikat berbuat demikian boleh mengakibatkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta-merta dan berdepan dengan tindakan undang-undang.

Sektor yang tersenarai adalah industri automotif (terhad kepada eksport unit siap pasang sepenuhnya, peralatan dan komponen, serta perkhidmatan selepas jualan contohnya penyelenggaraan), industri mesin dan peralatan serta industri aeroangkasa.

Selain itu, projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan, perkhidmatan sains; profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) (hanya terhad kepada perkhidmatan berkaitan guaman; perkhidmatan berkaitan minyak dan gas; aktiviti R&D berkaitan Covid-19 serta makmal ujian bagi sektor yang dibenarkan beroperasi sahaja.

Perkhidmatan kesihatan sosial termasuk perubatan tradisional yang berdaftar (hanya terhad kepada Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) berdaftar); perkhidmatan kedai perkakasan (hardware), kedai barangan elektrik dan elektronik dan kedai cermin mata sahaja dalam pemborongan dan peruncitan; perkhidmatan gunting rambut asas (gunting sahaja) dan perkhidmatan dobi (bukan layan diri).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 12, 2020 @ 11:15am
    d