mutakhir

UIAM Kuantan terima 250 kg sayur, buah

Oleh Mohd Rafi Mamat

UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan menerima 250 kilogram pelbagai jenis buah dan sayur yang disumbangkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang, semalam.

Pengarah (Pentadbiran), Pejabat Pengarah Kampus UIAM Kuantan, Mohd Khairulzain Abdul Rahman berkata, sumbangan hasil pertanian segar itu untuk kegunaan 350 penuntut dalam dan luar negara yang tinggal di asrama berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, antara buah yang diterima seperti tembikai merah, tembikai susu dan betik selain beberapa jenis sayur termasuk kacang panjang, lada serta ubi.

“Penghantaran produk berkenaan dilakukan kakitangan FAMA Pahang. Bantuan berkenaan diserahkan kepada penyedia makanan yang dilantik UIAM iaitu Pleasant for U Ent yang bertanggungjawab membekalkan makanan kepada penuntut sepanjang tempoh PKP.

“Saya bagi pihak UIAM Kuantan berterima kasih di atas keprihatinan FAMA Pahang terhadap penuntut yang terpaksa tinggal di asrama apabila menyumbangkan buah dan sayur, bantuan berkenaan dapat meringankan beban universiti.

“Harap sumbangan berkenaan menjadi contoh kepada pihak lain untuk turut sama menyumbang,” katanya selepas menerima sumbangan berkenaan, semalam.

Sementara itu Pengarah FAMA Pahang, Noh Nik Wan berkata, bantuan buah dan sayur yang diberikan antara aktiviti tanggungjawab sosial korporat FAMA Pahang bagi meringankan beban pihak terbabit.

“Selain UIAM Kuantan, kita juga turut memberi sumbangan buah dan sayur kepada 50 warga emas, ibu tunggal, pesakit kronik dan pesara FAMA Pahang di daerah ini.

“Bantuan berkenaan diharap dapat meringankan beban golongan terbabit sepanjang PKP ini,” katanya yang kini turut berusaha membeli beberapa jenis hasil pekebun yang tidak dapat dipasarkan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 12, 2020 @ 12:52pm
    d