mutakhir

Pertama kali kurang tempahan menjelang Ramadan [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

PENGUSAHA serunding mengakui pendapatan mereka terjejas sehingga 60 peratus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berikutan tiada tempahan menjelang Ramadan.

Suziana Mat, 28, yang juga generasi keempat mengusahakan Salma Serunding, berkata, buat kali pertama tahun ini dalam tempoh 10 tahun, dia tidak menerima tempahan.

“Biasanya sebulan sebelum Ramadan, pekerja tidak menang tangan menyediakan tempahan serunding dari seluruh negara.

“Setiap bulan, kami menghasilkan 2,400 kilogram (kg) serunding dan biasanya menjelang Ramadan boleh bertambah sehingga 5,000 kg.

“Walaupun pendapatan terjejas, saya bersyukur kerana perniagaan beroperasi, saya tidak berputus ada dan mencari peluang meneruskan perniagaan termasuk melalui dalam talian di laman sosial,” katanya ketika ditemui di kedainya di Jalan Kubur Maras, Kampung Langgar, Kota Bharu, semalam.

Ibu kepada seorang cahaya mata berusia setahun ini berkata, jumlah pelanggan ke kedainya juga berkurangan sepanjang PKP.

“Dalam kesibukan bekerja menyiapkan serunding, saya sentiasa menasihati tujuh pekerja supaya sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan diri.

“Malah, pelanggan juga dinasihatkan menjaga jarak dan menggunakan pensanitasi tangan,” katanya yang berharap rakan usahawan lain turut diberi kekuatan untuk memastikan perniagaan dapat terus beroperasi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 12, 2020 @ 2:48pm
    d