mutakhir

1,220 individu ingkar PKP ditahan [METROTV]

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

SERAMAI 1,220 individu yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk 854 individu dikenakan kompaun RM1,000.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain itu 345 individu sudah direman, manakala 21 lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya, jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP dari 18 Mac hingga semalam adalah 8,125 individu, dengan 2,156 kompaun dikeluarkan.

Menurutnya, semalam PDRM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengadakan 783 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksa 435,361 kenderaan.

“Selain itu, sebanyak 48,123 pemeriksaan mengejut diadakan di seluruh negara dengan 6,158 premis diperiksa,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, setakat semalam, sebanyak 163 Pusat Kuarantin sudah beroperasi berbanding 156 pada hari sebelumnya, yang mana 12,359 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

“Semalam seramai 835 rakyat Malaysia pulang ke tanah air dan diarah menjalani kuarantin wajib.

“Saya ingin mengulangi bahawa pelaksanaan kuarantin wajib tetap dilaksanakan ke atas semua rakyat Malaysia yang masuk ke negara ini melalui pintu masuk antarabangsa darat, laut dan udara di seluruh negara.

“Sebagai contoh pintu masuk antarabangsa melalui jalan darat di Padang Besar, Perlis dan Bukit Kayu Hitam, Kedah.

“Begitu juga kemasukan melalui jalan laut seperti di Terminal Feri Stulang Laut, Johor dan Terminal Feri Sandakan di Sabah.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan kuarantin wajib ini adalah sama seperti yang dikenakan ke atas semua rakyat dan warga asing yang masuk ke negara ini melalui udara seperti melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dan Klia2; Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Menurutnya, Pusat Kuarantin juga sudah disediakan di semua pintu masuk antarabangsa dan mereka akan disaring sebelum dikuarantin wajib.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 12, 2020 @ 4:21pm
    d