mutakhir

'Genggam erat silaturahim' ceriakan penuntut terkandas

Oleh Nazri Abu Bakar

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka memperkenalkan program keceriaan @ Genggam Erat Silaturahim dalam usaha menceriakan penuntutnya yang terkandas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Datuk Ts Dr Mohd Nor Hajar Hasrol Jono berkata, program itu termasuk menjamu seramai 25 penuntut ‘non residen’ di UiTM Kampus Alor Gajah hidangan set ayam goreng dan kek untuk makan tengah hari, hari ini.

Katanya, inisiatif terbabit meningkatkan keceriaan 25 penuntut yang terkandas di luar kampus memasuki Fasa ke-3 PKP ketika ini.

“Kerjasama pegawai residen kolej, non-residen dan unit kolej yang aktif menggerakkan program ini amat dihargai.

“Diharap dengan sumbangan terbabit dapat menaikkan semangat mahasiswa yang tidak dapat pulang ke kampung dan kini hanya berada di rumah sewa masing-masing sejak 18 Mac lalu.

“Mereka diberi hidangan tengah hari iaitu set ayam goreng dan kek sebagai menu tambahan secara percuma,” katanya.

Beliau berkata, program terbabit dirancang bersama dengan pengurusan eksekutif UiTM Alor Gajah dalam memastikan mereka terus ceria walaupun berjauhan dengan keluarga masing-masing.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 12, 2020 @ 5:42pm
    d