mutakhir

Belum temui rapid test kit tepat [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi

BELUM ada kit ujian pengesanan pantas antigen yang dapat mengesan jangkitan Covid-19 secara lebih tepat dan cepat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, ketika ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berusaha ke arah itu dan sedang melakukan penilaian kit ujian pengesanan pantas antigen dari Korea.

“Hari ini dan esok kita sedang laksanakan (penilaian) dan kita harapkan ia memberikan keputusan dan ketepatan yang tinggi untuk kita guna pakai.

“Apa yang penting pengesanan itu boleh dilaksanakan dalam tempoh singkat antara setengah jam hingga satu jam.

“Satu lagi kelebihan ialah mudah alih untuk kegunaan di klinik serta pusat kesihatan. Setakat ini kita masih tidak dapat kit yang tepat dan dipercayai,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, mengenai penggunaan plasma bagi merawat pesakit Covid-19, Dr Noor Hisham berkata, seramai 12 bekas pesakit Covid-19 yang sembuh tampil untuk menderma.

Menurutnya, ketika ini kajian masih di peringkat awal dan ia mungkin akan memakan masa sebelum dapat bukti kukuh untuk penggunaan plasma bagi merawat pesakit Covid-19.

“Memang apa yang kita gunakan sekarang ini adalah plasma untuk pesakit. Kita lihat kandungan kepekatan antibodi,” katanya.

Katanya, KKM juga masih melaksanakan penyelidikan vaksin Covid-19 yang turut dilakukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pertubuhan antarabangsa lain.

“Kita berharap vaksin dapat ditemui dalam tempoh setahun,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 12, 2020 @ 7:22pm
    d