mutakhir

Sidang DUN 45 minit [METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini hanya berlangsung selama 45 minit, berikutan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Persidangan yang bermula pada 9 pagi itu tidak dihadiri jemputan luar dan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hadir melainkan ADUN Air Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed kerana urusan yang tidak dapat dielak.

ADUN yang hadir juga perlu memeriksa suhu badan dan menggunakan pensanitasi tangan sebelum memasuki dewan persidangan.

Persidangan berkenaan sempat meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) iaitu Undang-Undang Taman Negara pindaan 1938 dan RUU Kerabat Bergelar dan Datuk Bergelar.

Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub ketika memulakan persidangan dewan memaklumkan, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V perkenan titah pembukaan persidangan DUN baginda dibacakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Abdullah turut memaklumkan soalan yang dikemukakan oleh ADUN juga akan dijawab pada persidangan nanti bagi mengelak persidangan berlangsung lebih lama.

“Persidangan DUN Kelantan sepatutnya berlangsung pada 23 hingga 26 Mac. Namun disebabkan wabak Covid-19, kita mengadakan hari ini,” katanya.

Abdullah ketika ditemui di luar dewan bersyukur persidangan DUN berjalan lancar walaupun hanya berlangsung 45 minit sahaja.

Katanya, persidangan itu terpaksa dilakukan bagi mengelak terdedah kepada komplikasi undang-undang, memandangkan tarikh akhir adalah 16 April.

“Kita buat secara ringkas, hanya dihadiri ADUN tanpa jemputan luar termasuk ketua jabatan dengan meluluskan dua RUU.

“Soalan yang dikemukakan dan bahas titah Sultan juga akan dibuat pada persidangan akan datang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 13, 2020 @ 11:17am
    d