mutakhir

Dua lelaki ditahan bersama dadah

Oleh Ruwaida Md Zain

POLIS menahan seorang pengedar dadah bersama dadah dipercayai heroin dengan anggaran berat 41.70 gram ketika penugasan Sekatan Jalan Raya Op Covid-19 di Jalan Sungai Udang, Kampung Delek, Klang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, suspek ditahan untuk pemeriksaan di SJR terbabit pada 3.30 petang.

“Hasil pemeriksaan, polis menjumpai satu beg kecil mengandungi 30 paket dadah disyaki heroin dalam poket seluar dipakai suspek, dianggarkan seberat 41.70 gram bernilai RM1,500.

“Siasatan mendapati, suspek warga tempatan yang berumur 48 tahun itu tidak bekerja dan mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah,” katanya dalam satu kenyataan.

Shamsul Amar berkata, siasatan juga mendapati suspek kembali aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun ini.

“Siasatan ke atas kes ini masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952,” katanya.

Dalam pada itu, Shamsul Amar berkata, anggota ronda MPV Op Covid-19 Klang Selatan memberkas seorang lelaki berusia 27 tahun bersama dadah jenis syabu, pada 4.30 pagi, hari ini.

“Polis menahan sebuah kereta jenis Honda Jazz dipandu lelaki di Lorong Batu Nilam 15D, dan hasil pemeriksaan polis menjumpai 17 paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki syabu dengan anggaran berat 52.06 gram.

“Kita masih terus menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952,” katanya.

Sementara itu katanya, seramai 108 orang awam dikenakan kompaun RM1,000 dari Khamis lalu sehingga semalam.

“Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan melaksanakan sembilan SJR, membabitkan lima SJR statik dan empat SJR bergerak.

“Lokasi bagi SJR statik adalah susur keluar MPK, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) susur keluar Jalan Kebun, Jalan Langat Berhadapan Indah Water, Jalan Dato’ Sidin dan Jalan Sungai Udang Kampung Delek.

“Bagi SJR bergerak pula, ia membabitkan kawasan Sentosa, Bukit Tinggi, Pandamaran dan Pelabuhan Klang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 13, 2020 @ 11:36am
    d