mutakhir

Agih 300 Kg buah, sayur

Oleh Mohd Rafi Mamat

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang mengagihkan lebih 300 kilogram (kg) sayur dan buah menerusi program tanggungjawab sosial korporat agensi berkenaan, kelmarin.

Fasa pertama program itu membabit 50 penerima di daerah Kuantan dan agihan dilakukan dari ke rumah oleh kakitangan FAMA Pahang.

Pengarahnya Noh Nik Wan berkata, setiap bungkusan pelbagai sayur dan buah segar bernilai RM50 dengan berat antara lima hingga tujuh kilogram.

Katanya, sumbangan yang disediakan diharap dapat digunakan oleh penerima terdiri daripada warga emas, pesakit kronik, keluarga miskin, ibu tunggal dan pesara FAMA Pahang yang mengalami masalah kesihatan.

Menurutnya, agihan dilakukan secara berperingkat membabitkan beberapa kawasan dilakukan kakitangan FAMA Pahang diketuai Pegawai Komunikasi Korporat FAMA Pahang Rosli Zakaria.

“Kita menyediakan peruntukan lebih RM3,000 untuk menjayakan program tanggungjawab sosial koporat yang kali pertama dilakukan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membantu golongan memerlukan.

“FAMA Pahang berusaha mendapatkan peruntuhan tambahan bagi meneruskan bantuan berkenaan. Kita sedia membekalkan sayur dan buah terpilih kepada agensi yang ingin menyumbang kepada golongan memerlukan,” katanya di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut mengagihkan bantuan buah dan sayur kepada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan dan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) bagi penuntut di asrama yang tidak dapat pulang ke kampung.

Dalam perkembangan sama

Noh berkata, pihaknya sudah melantik 10 individu penghantar barangan yang membuat belian secara tempahan serta pesanan bagi mengatasi masalah kelewatan.

Katanya, pihaknya sentiasa berusaha membekalkan barangan segar kepada pengguna sepanjang PKP

selain turut membantu memasarkan hasil pertanian dikeluarkan petani di negeri ini.

Sementara itu, penerima sumbangan Nur Aswareena Mahadi, 26 berkata, bantuan yang diterima dapat meringankan beban yang ditanggung sepanjang PKP apabila tidak dapat keluar rumah.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada FAMA Pahang yang sudi memberi bantuan sayur dan buah untuk kegunaan keluarganya. Mereka datang ke rumah menyampaikan sendiri barangan terbabit.

“Ini kali pertama saya menerima bantuan disediakan agensi kerajaan berkenaan. Antara yang diterima ialah nanas, tembikai, bawang, cili dan timun,” katanya yang menetap di Kampung Jaya Gading, Kuantan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 13, 2020 @ 12:35pm
    d