mutakhir

Hantar makanan guna Ferrari

Oleh Melvin Joni

SEBUAH restoran makanan barat di Kuching menarik perhatian ramai apabila menawarkan penghantaran makanan menggunakan kereta mewah, Ferrari.

Pengurus restoran itu berkata, Kenneth Tiong, ia sebagai tarikan kepada pelanggan dalam menghadapi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malah, katanya, dia tidak menyangka ideanya itu berhasil apabila perniagaan restoran berjalan lancar.

“Tidak sangka ramai pelanggan yang membuat tempahan dan mahukan penghantaran dibuat dengan kereta Ferrari ini.

“Kebanyakan pelanggan adalah ibu bapa yang menunaikan hasrat anak mereka yang ingin melihat kereta Ferrari singgah di hadapan pintu pagar rumah mereka,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Menjelas lanjut, Kenneth berkata, penghantaran menggunakan Ferrari itu diberi keutamaan kepada pelanggan yang membuat tempahan makanan pada harga RM100 ke atas.

Ketika ditanya mengenai status restoran berkenaan, menurut Kenneth, mereka menyediakan hidangan yang halal.

Katanya, tukang masak mereka berbangsa Melayu dan pelanggannya juga ramai dalam kalangan Melayu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 13, 2020 @ 1:58pm
    d