mutakhir

Kos bawa pulang ditanggung individu

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

KOS untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara perlu ditanggung oleh individu itu sendiri, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, penerbangan khas membawa pulang mereka akan diuruskan Kementerian Pengangkutan sekiranya kerajaan diberi kebenaran membawa pulang rakyat Malaysia oleh negara terbabit.

“Rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara diminta menghubungi kedutaan Malaysia terdekat. Kementerian Luar Negeri dan Wisma Putra sentiasa komited memastikan kebajikan mereka diberikan keutamaan.

“Urusan untuk membawa mereka pulang tertakluk kepada peraturan negara-negara di mana mereka terkandas. Ini disebabkan ada negara yang menguatkuasakan sekatan perjalanan iaitu membatalkan semua penerbangan bagi mengekang pandemik Covid-19.

“Oleh itu tidak semua kita boleh bawa pulang,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri-menteri berkenaan pelaksanaan PKP di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Kementerian Luar Negeri akan sentiasa menghubungi negara berkaitan bagi mendapat pelepasan dan kebenaran untuk membawa pulang rakyat Malaysia.

Namun beliau menasihati rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara supaya tinggal di negara berkenaan sehingga keadaan kembali pulih.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 13, 2020 @ 3:37pm
    d