mutakhir

Hebahan PKP selepas azan seluruh Terengganu [METROTV]

Oleh Zaid Salim

MASJID dan surau seluruh Terengganu disarankan melakukan hebahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan masing-masing selain hebahan secara mobil oleh polis peronda.

Ketua Polis Terengganu Datuk Roslee Chik berkata, bagi menyelaraskan mesej yang hendak disampaikan, hebahan itu hendak dibuat dalam bentuk rakaman audio dan dimainkan di setiap masjid dan surau di seluruh negeri.

“Bagi saya, Menteri Besar Datuk Ahmad Samsuri Mokhtar paling sesuai menyampaikan mesej berkenaan kepada rakyat.

“Mesej berkaitan PKP, langkah pencegahan dan kebersihan yang dirakamkan bentuk audio akan dimainkan sama ada oleh bilal atau imam setiap kali selepas azan.

“Pemasangan audio berkenaan bertujuan supaya masyarakat sentiasa beringat yang kita sekarang ini berada dalam keadaan PKP kerana ‘serangan’ Covid-19 dan rakyat hendaklah sentiasa patuh pada setiap arahan yang dikeluarkan pihak kerajaan sama ada pusat atau negeri,” katanya.

Menurutnya, beliau yakin kaedah itu dapat meningkatkan tahap pematuhan dalam kalangan masyarakat berikutan masih ada segelintir pihak yang keluar tanpa urusan dan ingkar PKP.

“Kaedah itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada masyarakat untuk memberi kerjasama membantu kerajaan menangani wabak pandemik Covid-19 yang kini sudah hampir sebulan ia dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Roslee berkata, beliau percaya jika mesej itu dimainkan masjid dan surau setiap hari, tidak mustahil tahap pematuhan masyarakat negeri itu yang kini sudah mencapai 97.5 peratus meningkat kepada 99.5 peratus,” katanya.

Katanya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Ahmad Samsuri dan berharap ia akan dipraktikkan dalam masa terdekat.

Menurut Roslee, dalam menangani penularan Covid-19, semua pihak perlu berganding bahu, bekerjasama dan bertanggungjawab memainkan peranan masing-masing.

Katanya, peningkatan jumlah tangkapan ingkar PKP jelas menunjukkan masih ada segelintir pihak yang degil dan sengaja keluar rumah dengan melakukan aktiviti yang dilarang walaupun kerajaan mengenakan hukuman tanpa kompromi sama ada penjara atau denda yang tinggi kepada mereka yang ditangkap atas kesalahan itu.

“Bermula fasa satu PKP 18 Mac lalu hingga pagi ini, kita menahan seramai 212 individu berbanding hanya 208 semalam,” katanya.

Tambahnya, sehingga kini sebanyak 151 kertas siasatan dibuka, 102 dituduh di mahkamah, 18 dibebaskan dengan jaminan polis dan 31 masih dalam siasatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 13, 2020 @ 4:33pm
    d