mutakhir

Tangkap keluar rumah lepas jam 8 malam

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

RAKYAT Terengganu yang masih berkeliaran tanpa alasan kukuh selepas jam 8 malam akan ditangkap.

Ketua Polis Terengganu Datuk Roslee Chik berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang masih ingkar sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Walaupun sudah hampir sebulan PKP dilaksanakan, kita lihat ada antara mereka memberi alasan yang tidak logik sebagai seperti mahu membeli air, makanan, barangan dan sebagainya walaupun sudah dimaklumkan operasi perniagaan di negeri ini hanya beroperasi sehingga jam 6 petang.

“Jadi sekarang, kalau kita tahan mana-mana individu yang berada di luar rumah mereka tanpa alasan kukuh selepas jam 8 malam, kita akan tangkap.

“Kita terpaksa ambil tindakan tegas seperti ini bagi memastikan rantaian Covid-19 ini terputus,” katanya pada Majlis Penyerahan Payung Kegunaan Sekatan Jalan Raya Oleh ExxonMobil di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

Pada majlis itu, IPK Terengganu menerima 50 payung yang akan diagihkan di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Mengulas mengenai gambar tular menunjukkan kesesakan lalu lintas di beberapa laluan di negeri itu, Roslee berkata, pihaknya sedia maklum dengan pertambahan kenderaan.

“Sebelum ini, jumlah kenderaan di negeri ini sepanjang PKP antara 5,000 hingga 6,000 kenderaan namun kita nampak ada pertambahan sehingga 9,000 kenderaan bermula semalam.

“Pertambahan itu mungkin disebabkan beberapa premis perniagaan yang dibenarkan beroperasi seperti bengkel kereta dan peralatan pertukangan.

“Mereka beri alasan mahu ke bank, membeli makanan dan sebagainya, jadi kita benarkan namun kita harap rakyat jujur dengan alasan yang diberikan,” katanya.

Sehingga hari ini, sebanyak 134 kompaun PKP dikeluarkan sejak 8 April ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 13, 2020 @ 5:53pm
    d