mutakhir

Rakyat Filipina takut ditahan dan ditembak

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

PERINTAH berkurung di Filipina jauh lebih ketat berbanding di negara ini sehingga rakyat bimbang jika ditahan kerana hukuman dikenakan berat.

Berkongsi pengalaman itu, rakyat Malaysia dikenali sebagai Tengku Harriz, 45, berkata mereka memiliki pas kuarantin komuniti diperketatkan (ECQ) saja dibenarkan keluar membeli barang keperluan harian untuk tempoh masa tertentu.

Beliau yang menetap di Talamban, Cebu City, berkata, perintah berkurung di negara itu dilakukan dengan tegas oleh polis dan tentera sehingga tiada sebarang aktiviti dibenarkan sepanjang tempoh berkenaan.

“Kebiasaannya jalan raya sesak dengan kenderaan dan pengangkutan awam seperti bas namun kini semua digantung perkhidmatan.

“Rakyat dibenarkan keluar untuk beli barang keperluan harian dan perlu segera pulang ke rumah jika tidak mahu tindakan tegas diambil,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, pegawai dari pihak berkuasa tempatan akan membuat bancian dan setiap rumah hanya diberi satu pas ECQ sebagai ‘lesen’ keluar ke kedai berhampiran.

Beliau berkata, dalam tempoh ini juga sukar mendapatkan bekalan makanan halal kerana kedai menjual barangan itu jauh dari kediamannya.

“Saya kini keluar satu kali seminggu untuk beli bekalan makanan seperti sayur dan ikan kerana makanan halal lain sukar diperoleh.

“Aktiviti ekonomi di sini juga lumpuh dan operasi syarikat pelancongan saya juga terjejas teruk kerana ketiadaan pelancong dalam dan luar negara sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

Menurutnya, selepas selesai tempoh kawalan pergerakan, dia bercadang pulang melawat keluarganya di Kelantan.

Sebelum ini, Presiden Filipina Rodrigo Duterte dilaporkan memberi amaran tegas untuk menembak individu melanggar undang-undang sepanjang tempoh perintah kerana menimbulkan kekacauan.

Duterte berkata, rakyat perlu memberi kerjasama dan patuh kepada arahan kuarantin kerana ia satu-satunya jalan bagi memperlahankan penyebaran wabak Covid-19.

Sehingga kini, Filipina mencatatkan 4,648 kes jangkitan dengan 297 kematian manakala 197 dilaporkan pulih.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 13, 2020 @ 6:55pm
    d