mutakhir

Untung pandai melukis...

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

PEMUDA di Kampung Padang Lalang, Bagan Serai memanfaatkan sepenuhnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah berlangsung sebulan dengan mencantikkan kediamannya.

Mohamad Azizul Ismail, 32, menggunakan kreativitinya dengan melukis mural di dinding rumahnya, selepas PKP fasa pertama disambung bermula 1 April lalu.

Katanya, kerja melukis dan mengecat di dinding luar rumah hanya mengambil masa empat hari.

“Kini saya sedang menyiapkan lukisan di bahagian dalam rumah seperti ruang tamu dan bilik.

“Saya menggunakan konsep kontemporari yang digabungkan dengan batik serta kerawang selain flora fauna,” katanya ketika ditemui hari ini.

Mohamad Azizul turut memuat naik karyanya di laman sosial sebagai sumber inspirasi orang lain untuk menghabiskan masa ketika PKP.

Katanya, dia tidak menyangka perkongsiannya mendapat perhatian orang ramai yang turut meminta dia untuk melukis rumah mereka, kedai dan bangunan selepas tamat PKP.

Pemilik Diploma Seni Kraf Batik itu turut bercadang mengabdikan mural berkaitan perjuangan wira barisan hadapan ketika Covid-19 di mana-mana bangunan swasta mahupun kerajaan yang dibenarkan.

“Jika diberi peluang, saya berminat melukis karya itu dan sedia bekerjasama sebagai menghargai khidmat bakti barisan hadapan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 13, 2020 @ 7:27pm
    d