mutakhir

144 kes tipu jual topeng muka

Oleh Norzamira Che Noh

SEBANYAK 144 kes penipuan berhubung jualan topeng muka direkodkan Polis Selangor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan kerugian sehingga RM1.5 juta.

Jurucakap Khas Op Covid-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, setakat ini, 20 individu ditahan untuk siasatan lanjut kerana dipercayai terbabit dalam sindiket penipuan itu.

“Sindiket ini aktif susulan topeng muka mendapat permintaan yang tinggi ketika ini susulan penularan Covid-19 justeru, masyarakat perlu lebih berhati-hati dalam membuat pembelian.

“Sepanjang tempoh PKP bermula 18 Mac lalu, kami sudah merekodkan 144 kes penipuan topeng muka membabitkan kerugian sebanyak RM1.5 juta.

“Polis Selangor ingin menasihatkan kepada masyarakat lebih berhati-hati ketika membuat pembelian topeng muka terutama secara dalam talian,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam semalam.

Beliau berkata, masyarakat boleh membuat semakan mengenai akaun serta aplikasi sebelum membuat pembelian.

Katanya, pembeli juga wajar memilih aplikasi yang mempunyai ciri keselamatan yang mana wang tidak akan diberikan kepada penjual sekiranya pembeli belum menerima barang yang ditempah.

Sementara itu, secara keseluruhan, sepanjang tempoh PKP bermula 18 Mac hingga 12 April (semalam), polis Selangor menerima 1,546 laporan polis dan melakukan 1,730 tangkapan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 14, 2020 @ 7:30am
    d