mutakhir

Tumpu pasar basah fasa ketiga PKP

Oleh Mohd Roji Kawi

POLIS kini memberi tumpuan di pasar basah untuk memastikan hanya seorang wakil daripada satu keluarga yang membeli barang keperluan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, tindakan itu selaras Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan memasuki fasa ketiga, esok.

Dev berkata, orang ramai masih boleh pergi ke pasar untuk membeli barang keperluan tetapi mesti seorang dalam kereta atau motosikal.

“Jika lebih dari seorang tanpa alasan yang munasabah, polis akan mengeluarkan notis kompaun RM1,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dev berkata, memasuki fasa ketiga PKP ini, polis bertindak lebih tegas dan tidak sekadar memberi amaran lagi.

Tindakan tegas itu dapat dilihat pada jumlah kompaun yang dikeluarkan serta tangkapan dalam tempoh 24 jam antara 8 pagi semalam hingga 8 pagi hari ini yang meningkat iaitu 137 individu dikompaun, manakala 21 orang ditangkap di seluruh Sarawak.

Kuching mencatatkan jumlah paling ramai dikompuan dengan 30 orang, Sibu (29), Sarikei (13), Padawan (11), Lawas (7), Meradong (6), Limbang dan Julau masing-masing lima orang, Kota Samarahan, Bintulu, Betong dan Simunjan, masing-masing empat orang, manakala Miri dan Song masing-masing tiga orang, sementara Serian, Mukah, Tatau dan Lubok Antu masing-masing dua orang dan Saratok pula seorang.

“Tangkapan bagi mereka yang ingkar pula, Kuching dan Sibu masing-masing enam orang; Miri dan Padawan masing-masing tiga orang manakala Kota Samarahan, Simunjan dan Matu Daro masing-masing seorang.

Katanya lagi, tahap pematuhan PKP yang dilaksanakan bagi memutuskan rantaian COVID-19 di Sarawak adalah tinggi iaitu 97 peratus.

“Bagaimanapun, masih ada segelintir yang masih degil dan kita berharap agar masyarakat akan bekerjasama dalam tempoh PKP fasa ketiga ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 14, 2020 @ 10:30am
    d