mutakhir

STM giat bantu penuntut Malaysia di Kanada

Oleh Rosyahaida Abdullah

SEMUA rakyat Malaysia di Kanada diminta mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia (STM) di negara itu bagi membolehkan maklumat disampaikan secara lebih efektif dan langkah proaktif diambil apabila berlaku bencana atau pandemik seperti sekarang.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Kanada, Datuk Nor Aini Abd Hamid berkata, meskipun bilangan kes positif Covid-19 di negara itu semakin meningkat mencecah 25,663 dengan 780 kematian, tiada rakyat atau penuntut Malaysia dilaporkan dijangkiti wabak itu setakat ini.

Bagaimanapun katanya, penting untuk rakyat Malaysia termasuk penuntut di sana kekal berhubung dengan STM bagi memastikan maklumat dan bantuan sewajarnya sampai kepada mereka jika diperlukan terutama ketika berlaku kejadian tidak diingini.

“Ketika ini terdapat 450 penuntut Malaysia di seluruh Kanada. Sejak pandemik ini mula merebak, ramai yang sudah mengambil langkah mendaftar dengan STM dan kami mengalu-alukan seluruh rakyat Malaysia di Kanada lakukan perkara sama.

“Saya juga memohon ibu bapa sentiasa berhubung dengan anak di Kanada pada saat ini dan segera menghubungi pihak STM jika memerlukan sebarang bantuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Nor Aini, beberapa inisiatif sudah diambil STM di Kanada untuk memastikan rakyat Malaysia khususnya penuntut sentiasa berada dalam keadaan sihat dan selamat.

Antaranya dengan mewujudkan mekanisme komunikasi secara berkumpulan bersama penuntut Malaysia di seluruh Kanada termasuk menghubungi mereka melalui WhatsApp dan Facebook.

“Bagi menjamin kesihatan penuntut kita, pihak STM sudah pun menghantar face mask (penutup mulut dan hidung), hand sanitizer (cecair pembasmi kuman) dan glove (sarung tangan) kepada semua penuntut kita di seluruh Kanada.

“Selain itu, segala informasi daripada kerajaan Kanada berkaitan penuntut Malaysia turut disampaikan. Pihak STM mahu memastikan kebajikan penuntut sentiasa dititikberatkan,” katanya.

Sementara itu, penuntut Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Kanada, Azim Mohd Arshad berkata, keadaan di Ottawa (ibu negara Kanada) dan Kanada secara keseluruhan terkawal walaupun jumlah kes semakin meningkat.

“Kami masih dapat membeli barangan keperluan dan bekalan juga mencukupi. Pihak STM sendiri memainkan peranan secara efektif dan prihatin dengan kami.

“Kami juga sudah pun menerima bekalan penutup mulut dan hidup, cecair pembasmi kuman dan sarung tangan. Terima kasih kepada Kementerian Luar Negeri Malaysia dan STM di Kanada,” katanya.

Bagi Fei Wen Lee berkata, walaupun berada di luar negara, penuntut tahun tiga University of Carleton itu dijaga dengan baik oleh kerajaan Malaysia.

“Terima kasih kepada kerajaan Malaysia, Kementerian Luar Negeri dan pihak kedutaan. Saya sudah pun menerima bantuan berupa bekalan penutup mulut dan hidung dan lain lain barang lagi.

“Ibu bapa tidak perlu risau kerana pihak kedutaan sentiasa menjaga kami di sini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 14, 2020 @ 2:03pm
    d