mutakhir

Pasangan kekasih geng pecah kedai

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PASANGAN kekasih antara tiga individu ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan pecah kedai di sekitar daerah ini dalam dua serbuan berasingan, semalam.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pihaknya menerima laporan daripada pekerja sebuah kedai serbaneka di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan memaklumkan premis berkenaan dipecah masuk kira-kira jam 8 pagi, kelmarin.

“Pemeriksaan dilakukan pekerja terbabit yang juga lelaki warga Bangladesh mendapati terdapat beberapa barangan hilang dianggarkan berjumlah RM31,000.

“Hasil maklumat diterima, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Serdang diketuai Inspektor Khairul Syahril menahan seorang lelaki tempatan bersama kekasihnya iaitu wanita warga Vietnam masing-masing berusia 30-an dan 20-an di Bandar Teknologi Kajang jam 10.30 malam tadi.

“Dalam serbuan itu, kami berjaya merampas semula sejumlah besar barang dipercayai hasil pecah rumah serta peralatan digunakan untuk kegiatan itu,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Ismadi berkata, hasil tangkapan itu, pihaknya menahan seorang lagi suspek berusia 30-an di Balakong dan berjaya menemui dua karton serta 26 kotak rokok pelbagai jenis.

“Semakan mendapati dua suspek lelaki masing-masing mempunyai 16 serta tiga rekod jenayah dengan seorang daripadanya tersenarai sebagai individu dikehendaki oleh pihak polis, manakala suspek wanita tiada rekod jenayah.

“Dengan penahanan tiga suspek berkenaan, kami percaya berjaya menyelesaikan empat kes pecah kedai dan premis perniagaan di sekitar daerah ini.

“Malah, kumpulan ini juga dipercayai aktif dalam lebih 10 kes penipuan pembelian telefon bimbit dalam talian di sekitar Lembah Klang berdasarkan pendedahan awal mereka,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengenal pasti seorang lagi suspek yang masih bebas dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 14, 2020 @ 2:30pm
    d