mutakhir

Laluan di kawasan Masjid India dipasang pagar kawat duri [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PASUKAN keselamatan memasang pagar kawat duri di sekitar laluan utama dan ‘lorong tikus’ di kawasan Masjid India, hari ini.

Tinjauan wartawan Harian Metro di lokasi mendapati pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas dilihat melakukan pengawasan ketat bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini di kawasan berkenaan.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan seluruh kawasan Masjid India dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok susulan peningkatan kes positif Covid-19 di lokasi berkenaan.

Pelaksanaan PKPD di kawasan berkenaan yang bersaiz kira-kira satu kilometer persegi membabitkan lebih 10,000 penduduk.

Jumlah itu termasuk lebih 6,000 individu mendiami flat Selangor Mansion dan Malayan Mansion serta 3,200 penduduk di Plaza City One selain hampir 1,000 penduduk direkodkan tinggal di rumah kedai sekitar kawasan Masjid India.

Sebaik pelaksanaan arahan itu nanti, semua premis Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Lebuh Ampang, Jalan Tun Perak, Jalan Dang Wangi, Jalan Melaka dan Jalan Munshi Abdullah wajib ditutup.

Antara pusat beli-belah dan premis perniagaan terdapat dalam kawasan Masjid India adalah Semua House, Mydin, Kompleks Cambell, Wisma Kosas, Wisma Yakin serta puluhan hotel tiga bintang dan hotel bajet sudah diarahkan tutup sejak awal lagi.

Bagaimanapun, dua kawasan dikecualikan daripada PKPD adalah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi yang terletak di belakang kediaman Plaza City One yang dikenakan arahan berkenaan pada 31 Mac lalu dan pusat pengawasan gelandangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Disiarkan pada: April 14, 2020 @ 5:10pm
    d