mutakhir

Cabaran jual 594,000 kotak kurma [METROTV]

Oleh Nor Amalina Alias

EMPAT beradik ini sudah menempah dua kali ganda bekalan kurma untuk dijual namun berdepan cabaran apabila tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disambung hingga Ramadan.

Itu situasi dihadapi Husna Sharifuddin, 28, Muhammad Sofwan, 26, Abdul Muiz, 25, dan Husni Zaim, 23, bagi menjual makanan sunnah berkenaan.

Ia dijual di kedai diusahakan keluarga di Kedai Salsabil, Wakaf Che Yeh di Kota Bharu.

Bekalan kurma itu ditempah oleh arwah bapa mereka, Sharifuddin Mohd Ishak, 53, yang meninggal dunia akibat masalah jantung, 1 April lalu.

Husna berkata, bagi jualan tahun ini, arwah bapa dan mereka menempah 15 kontena kurma berbanding 10 kontena bagi tahun-tahun sebelum ini selepas melihat peningkatan permintaan daripada pelanggan sepanjang 2019.

“Jadi kami buat tempahan lebih. Kami tidak sangka Covid-19 menyerang menyebabkan operasi kedai terjejas selain ayah meninggal secara mengejut.

“Agak mencabar untuk kami habiskan bekalan kurma ini sebelum Ramadan berakhir kerana arwah ayah pentingkan kualiti.

“Arwah mahu, setiap bekalan untuk Ramadan, habis dijual pada masa itu juga,” katanya.

Menurut Husna, selain pelanggan berkurangan ke kedai, pihaknya juga berdepan kesukaran membuat penghantaran kepada pelanggan akibat PKP.

Katanya, bagi mengelak kerugian, pihaknya menjual kurma itu secara dalam talian selain mengubah kaedah pemasaran.

“Kami turunkan harga jualan sehingga 15 peratus, pelanggan mendapat mata ganjaran dan pelbagai lagi.

“Selain itu, kami juga buka peluang berniaga kepada individu yang tidak dapat bekerja dengan menawarkan peluang menjadi pembekal,” katanya ditemui di kedainya.

Menurut Husna, mereka menjual lebih 20 jenis kurma seperti kurma Ajwa (Nabi), kurma tangkai (Tunisia), Mariami dan Madinah diimport dari Timur Tengah.

Sementara itu, Muhammad Sofwan berkata, sebelum ini, sepanjang Ramadan, pihaknya menerima tempahan daripada syarikat, sekolah selain peniaga bazar.

“Tahun ini paling sukar buat semua peniaga. Kami berharap pada permintaan tinggi kurma ketika ini kerana sifatnya yang membantu menghilangkan batuk dan sakit tekak.

“Cara menghilangkan batuk ialah, buang biji kurma sebelum kemam sehingga ia habis,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 14, 2020 @ 5:22pm
    d