mutakhir

Pengalaman perintah berkurung di Sepanyol

Oleh Rosyahaida Abdullah

“JIKA Sepanyol pun masih catatkan angka kes dan kematian yang tinggi sedangkan rakyatnya sangat patuh pada perintah berkurung, apa agaknya nombor yang akan direkodkan sekiranya ingkar,” kata Noor Azlin Razali, 39.

Noor Azlin, rakyat Malaysia yang kini menetap bersama keluarga di Madrid, Sepanyol sejak empat tahun lalu meluahkan rasa kesal terhadap segelintir rakyat Malaysia yang masih gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini kerana katanya, dia menyaksikan sendiri bagaimana rakyat Sepanyol terutama rakan dan jiran sekeliling cukup patuh pada perintah berkurung oleh kerajaan negara itu namun jumlah kes masih tinggi biarpun ada penurunan beberapa hari kebelakangan ini.

Disebabkan itu, dia mengakui tidak sanggup membayangkan apa akan berlaku jika Malaysia terpaksa mengendalikan hampir 20,000 kematian dan lebih 160,000 kes Covid-19 seperti direkodkan Sepanyol setakat ini.

“Sepanjang menetap di sini (Sepanyol), saya juga pernah lalui pengalaman mendapatkan rawatan di hospital dan hakikatnya tidak banyak berbeza pun dengan Malaysia malah saya menerima layanan yang sama seperti rakyatnya sendiri.

“Namun, kes Covid-19 masih juga tinggi. Saya tidak begitu pasti bagaimana ia boleh berlaku tetapi kami (penduduk) mengagak virus ini sudah menjangkiti orang ramai lebih awal sebelum kerajaan (Sepanyol) isytihar perintah berkurung bulan lalu.

“Mungkin juga disebabkan warga emasnya mengambil iktibar daripada Spanish Flu (Selsema Sepanyol) yang pernah terjadi dulu tetapi saya juga tidak nampak remaja dan orang muda langgar perintah ini.

“Saya melihat orang Sepanyol sebagai sangat baik hatinya, mungkin kerana ia bekas pemerintahan Islam dan mempunyai susur galur yang sudah terdidik dengan nilai yang baik, agaknyalah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Noor Azlin menjelaskan, mungkin ramai yang tidak tahu Sepanyol memiliki budaya ‘dar dos besos’ iaitu mencium kedua belah pipi setiap kali bertemu dan berpisah dengan rakan atau saudara.

Malah katanya, pada masyarakat Sepanyol, Ahad adalah hari keluarga berkumpul yang memungkinkan ia menjadi antara penyebab Covid-19 lebih mudah dan cepat tersebar.

“Bagaimanapun, selepas kerajaan umumkan perintah berkurung bulan lalu, seawal hari pertama ia dilaksanakan, saya tidak nampak walau satu kereta melalui blok saya kecuali kereta polis sedangkan rumah saya betul-betul di tengah kota Madrid dan tiada lagi perjumpaan keluarga pada hari Ahad seperti kebiasaan.

“Saya tidak berniat untuk memuji rakyat Sepanyol terutama Madrid berlebih-lebih tetapi inilah hakikatnya. Saya juga tidak nampak pembelian panik berlaku sebaliknya masing-masing (rakan dan kenalan) makan secara ala kadar saja,” katanya.

Noor Azlin berkata, ketika ini, Madrid seakan bandar hantu dengan hanya sesekali kedengaran bunyi siren kereta polis melalui kawasan kediamannya.

Selain farmasi dan pasar raya yang menjual barangan keperluan, tiada premis perniagaan lain dibenarkan beroperasi walaupun kedai runcit malah bank juga ditutup sepenuhnya.

“Bayangkan, betapa tingginya kadar kepatuhan rakyat Sepanyol hinggakan pihak bomba turut hasilkan video memaparkan kota Madrid yang sunyi dan lengang dengan mesej terima kasih kepada rakyat kerana patuhi perintah ini.

“Kini, setiap hari pada 8 malam, majoriti rakyat Sepanyol akan keluar ke balkoni rumah masing-masing dan bersama menyanyikan lagu khusus Covid-19 ciptaan artis tempatan sambil tepuk tangan sebagai tanda terima kasih kepada pasukan barisan hadapan yang bertungkus lumus mengawal wabak ini,” katanya.

Menurut Noor Azlin, susulan keadaan di Sepanyol, ramai kenalannya di Malaysia menyarankan supaya dia pulang ke negara bagi mengelak risiko wabak berkenaan.

“Melihat bagaimana masyarakat di sini taat pada perintah kerajaan, kekal di rumah sepanjang masa termasuklah anak muda yang biasanya melepak, saya sedikit yakin untuk terus berada di sini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 14, 2020 @ 7:58pm
    d