mutakhir

100 kg ikan, udang galah tidak terjual

Oleh Adnan Ibrahim

LEBIH 100 kilogram (kg) pelbagai jenis ikan air tawar yang ditangkap penduduk Kampung Orang Asli Sedohok dekat Kluang tidak dapat dijual berikutan tiada orang tengah membeli hasil tangkapan mereka.

Jailani Rahim, 36, berkata, antara ikan tidak dapat dijual adalah daripada jenis lampam, baung dan jelawat yang ditangkap di sungai di kawasan kampung.

Menurutnya, selain itu, udang galah juga tidak dapat dipasarkan berikutan kebanyakan peraih dari Johor Bharu dan Kluang tidak boleh datang ke kampung mereka.

“Keadaan ini menyebabkan kami terpaksa menyimpan semua udang galah yang masih hidup itu di dalam sangkar khas di sungai bagi mengelakkan ia mati sementara menunggu penduduk berdekatan kampung datang membeli.

“Manakala ikan yang berjaya ditangkap itu terpaksa disimpan dalam peti ais bagi mengelakkannya busuk walaupun belum pasti semua tangkapan itu boleh dihabiskan jualannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Jailani, berikutan lambakan ikan dan udang galah, penduduk kampung terpaksa memberhentikan aktiviti menangkap ikan kecuali memeriksa tangkapan di pukat gombang antara tiga hingga empat hari sekali.

“Akibat keadaan ini, penduduk kampung terputus punca pendapatan kerana tiada peraih yang datang mendapatkan bekalan.

“Kami buntu memikirkan cara untuk menjual semua tangkapan yang ada kerana jika dibiarkan terlalu lama ia mungkin akan rosak manakala udang galah di dalam sangkar akan mati,” katanya.

Katanya, dia berharap ada pihak yang tampil membantu mereka menyelesaikan masalah berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 15, 2020 @ 10:13am
    d