mutakhir

Tiada catuan air di Melaka menjelang Ramadan

Oleh Nazri Abu Bakar

SYARIKAT Air Melaka Berhad (SAMB) yakin tiada catuan air sepanjang Ramadan bagi membolehkan rakyat Melaka menikmati kemudahan penggunaan air dengan baik.

Timbalan Pengerusi SAMB, Datuk Zaidi Attan berkata, situasi semasa membabitkan empangan di negeri ini agak memuaskan termasuk di Empangan Durian Tunggal dengan paras air melebihi 50 peratus.

Katanya, empangan Asahan pula melebihi 80 peratus memperlihatkan keperluan berkenaan berada pada tahap memuaskan, namun diharap paras air akan lebih baik, termasuk menerusi taburan hujan dan langkah-langkah proaktif mengepam air sungai.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihat untuk menjimatkan air sepanjang berada di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

“Ketika PKP penggunaan dilihat lebih tinggi jika tiada langkah penjimatan dilakukan oleh ahli keluarga terutama bagi kegunaan harian mereka,” katanya.

Sebelum ini, catuan air dilakukan di seluruh Melaka bermula 29 Januari membabitkan Zon Satu di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin dan catuan di Zon Dua di kawasan tertentu dalam daerah Alor Gajah bermula 10 Mac dengan kesemua catuan berakhir pada 1 April lalu.

Langkah berkenaan memberi manfaat kepada 80 peratus atau 735,221 isi rumah, termasuk kawasan perindustrian dan perhotelan.

Sementara itu, SAMB memaklumkan terdapat gangguan bekalan air akibat kerja pembaikan paip utama di Jalan Sekolah Thambi Chik Karim, Masjid Tanah.

Menurutnya, kerja pembaikan dilakukan pagi ini dan dijangka mengambil masa lebih kurang empat jam.

Katanya, kawasan yang dijangka akan terjejas adalah seluruh kawasan Jalan Sekolah Thambi Chik Karim dan Jalan Hujan Panas.

Untuk aduan dan pertanyaan lanjut pengguna boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan yang beroperasi 24 jam di talian 15800 atau SMS / WhatsApp 013-7515800.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 15, 2020 @ 3:02pm
    d