mutakhir

Enam jalan ditutup bagi PKP Fasa 3 di Sungai Petani

Oleh Nor Farhani Che Ad

BAGI pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 3, enam jalan di daerah Kuala Muda akan ditutup sepenuhnya bermula 8 pagi esok.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, penutupan jalan itu dilaksanakan bagi semua jenis kenderaan sehingga tempoh PKP berakhir pada 28 April ini.

“Ia bukan bermakna ‘lockdown’ atau perintah berkurung kerana pengguna masih ada laluan alternatif ke Bandar Sungai Petani,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Antara laluan ditutup atau dilencongkan ialah Jalan Alor-Setar Butterworth (lampu isyarat TF Mart) dari arah selatan ke utara dan dari arah utara ke selatan (lampu isyarat Lencong Timur).

Jalan lain membabitkan Jalan Lencong Barat dari arah Jalan Lencong Barat di lampu isyarat TF Mart ke Bandar Sungai Petani.

Selain itu, Jalan Ria dari arah Taman Ria, Jalan Sekerat dari arah Pekan Lama Sungai Petani, lampu isyarat Institut Kemahiran Mara (IKM) dari Jalan Kelab Cinta Sayang dan Jalan Jambatan Semeling dari arah Sungai Layar Hujung dan dari arah Semeling turut ditutup.

Adzli berkata, laluan alternatif yang boleh digunakan adalah seperti dari arah utara ke selatan atau ke pusat bandar boleh melalui Jalan Lencong Timur manakala bagi laluan dari arah selatan ke utara atau ke pusat bandar boleh menggunakan Jalan Lencong Barat.

“Pengguna dari Tanjung Dawai, Merbok dan Semeling hendaklah melalui jalan utama Semeling, Bedong untuk ke Gurun dan pusat bandar Sungai Petani.

“Manakala, bagi pengguna dari arah utara dan selatan yang mahu ke Tanjung Dawai, Merbok dan Semeling hendaklah melalui jalan utama Bedong, Semeling,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap semua pengguna memberi kerjasama dan mematuhi arahan bagi melancarkan pergerakkan lalu lintas.

Katanya, sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di talian 04-4299058.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 15, 2020 @ 3:50pm
    d