mutakhir

Rezeki penghantar barang berbasikal

Oleh Md Fuzi Abd Lateh

“SAYA bersyukur dan berterima kasih kepada Harian Metro. Kini rezeki saya bertambah setiap hari apabila ramai menggunakan perkhidmatan pesanan barangan harian di kawasan Batang Kali,” kata Abdullah Yusof.

Abdullah, 21, berkata, hanya selepas tiga hari kisah hidupnya membuat penghantaran barangan dengan berbasikal lebih 50 kilometer sehari dilaporkan Harian Metro pada 27 Mac lalu, pendapatan harian meningkat dengan mendadak.

“Alhamdulillah, saya menerima upah antara RM300 hingga RM600 sehari hasil daripada lebih 40 pesanan diterima penduduk ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Ramai sudi menderma dan mendapatkan khidmat pesanan dan penghantaran barangan runcit yang saya lakukan bermula 18 Mac lalu.

“Saya berbasikal ke kawasan taman perumahan dan perkampungan termasuk Kampung Orang Asli di Hulu Tamu, Batang Kali,” katanya.

Malah, dia mampu menunggang motosikal Modenas yang dipinjamkan seorang penduduk dikenali sebagai Ridzuan, baru-baru ini.

Menurutnya, tidak dinafikan basikal pemberian rakan di Batang Kali banyak berjasa dan memberikan rezeki halal kepadanya setiap hari.

“Saya masih sayang basikal ini dan menggunakannya untuk menghantar barang pada jarak dekat sekitar bandar Batang Kali. Manakala motosikal digunakan untuk ke kawasan jauh dari sini hinggalah ke Kuala Kubu Bharu dan Serendah.

“Banyak pengalaman manis dan pahit saya lalui ketika bekerja sambilan mengambil dan menghantar pesanan barangan keperluan penduduk ketika PKP ini termasuklah ditipu penduduk apabila mereka memberikan alamat rumah salah dan enggan membayar upah kerja itu,” katanya.

Abdullah berkata, kini dia mempunyai tiga rakan yang menjadi pekerjanya yang melakukan kerja amal sambil mencari rezeki.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 15, 2020 @ 3:51pm
    d