mutakhir

RM600,000 bantu nelayan Sarawak

KESUKARAN nelayan di Sarawak menjual hasil tangkapan kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diatasi apabila kerajaan negeri menyalurkan peruntukan RM600,000.

Pengerusi Persatuan Nelayan Sarawak (PENESA), Jam Hajimi berkata, kerajaan negeri menyalurkan peruntukan itu menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Katanya, LKIM akan menyalurkan bantuan itu melalui PENESA yang akan diagihkan kepada 18 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di Sarawak.

“Peruntukan digunakan PNK untuk membeli hasil tangkapan nelayan dan dijual kepada pengguna baik secara penghantaran bayar selepas terima (COD), kutipan sendiri, ‘Fish On Wheel’ (FOW) atau di pasar nelayan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, PENESA berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana prihatin dengan kebajikan nelayan di negeri ini

“Kita memohon nelayan menjual hasil tangkapan mereka kepada PENESA,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana meluluskan elaun sara hidup nelayan (ESHN) pada musim tengkujuh untuk nelayan di seluruh Sarawak.

“Jabatan Pertanian mengagihkan elaun itu kepada 5,589 nelayan terdiri daripada 4,704 nelayan laut dan 885 nelayan darat untuk Januari hingga Mac tahun ini dengan jumlah RM8.3 juta.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 15, 2020 @ 3:59pm
    d