mutakhir

Meninggal serangan jantung, bukan kelapan

Oleh BERNAMA

WARGA emas yang tular di laman sosial kerana ditemui terbaring dalam keadaan lemah di tepi jalan di Lipis, Isnin lalu, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, bedah siasat terhadap Lai Fah Kuen 72, telah dilakukan di Hospital Kuala Lipis semalam, bagi mengenal pasti punca kematian.

“Kita berharap penjelasan ini menamatkan dakwaan kononnya lelaki itu meninggal dunia akibat kelaparan. Anggota kita telah membelikan bekalan makanan dan nasi untuk lelaki itu pada malam sebelum dia meninggal dunia.

“Malah, mayatnya juga ditemui oleh anggota kita yang sekali lagi datang ke rumah lelaki itu pada sebelah pagi keesokan harinya bagi menghantar sarapan dan memantau keadaannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azli berkata, anggota polis terpaksa memecah pintu rumah itu apabila panggilan mereka tidak berjawab dan menemukan mayat lelaki yang berasal dari Benta, Lipis dalam keadaan meniarap di lantai bilik.

Isnin lalu, tular di laman sosial video yang menunjukkan Lai yang bujang dan tinggal seorang diri ditemui dalam keadaan lemah sehingga perlu diusung oleh anggota polis untuk menaiki kenderaan pacuan empat roda bagi dihantar pulang ke rumahnya.

Kisah Lai sekali lagi mendapat perhatian hari ini, apabila dia ditemui meninggal dunia di rumah itu pada pagi semalam, sehingga ada pihak yang membuat andaian sebab kematiannya adalah akibat kelaparan.

Menjelaskan kejadian itu daripada awal, Azli berkata, anggota polis yang membuat rondaan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Jalan Kechau, Lipis telah melihat seorang lelaki cuba membantu Lai menyebabkan mereka berhenti untuk turut sama menolong.

Lai mendakwa mahu keluar ke Bandar Baru Kuala Lipis untuk membeli makanan menyebabkan anggota polis dan orang awam itu membantu membelikan stok makanan sebelum menghantarnya pulang ke rumah yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat dia ditemukan.

Azli berkata siasatan mendapati pondok yang dijadikan sebagai rumah Lai terletak dalam kebun durian milik bapanya dengan adik lelakinya tinggal kira-kira 100 meter daripada pondok tersebut.

Mayat Lai, menurut Azli, telah diserahkan kepada keluarganya semalam, untuk disempurnakan mengikut agama mereka.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 15, 2020 @ 4:04pm
    d