mutakhir

Tiada pembelian panik

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memantau bekalan dan harga 25 barangan keperluan harian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bekalan barangan keperluan pengguna mencukupi dan mampu menampung permintaan semasa dengan corak pembelian adalah normal dan tiada pembelian panik.

Menurutnya, semalam, penguat kuasa KPDNHEP membuat pemantauan harian di 1,068 premis perniagaan termasuk peruncit (775), pemborong (262) dan pengilang (31).

“Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung permintaan semasa.

“Seperti diumumkan semalam, Skim Harga Maksimum PKP akan berkuat kuasa bermula hari ini sehingga 28 April bagi memastikan harga 12 barangan keperluan harian dapat dikawal seperti ayam, telur ayam, minyak masak, tepung gandum, tomato, kubis dan ikan kembung,” ” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Ismail berkata, sebanyak 177 Pusat Kuarantin beroperasi berbanding 176 pada hari sebelumnya dan 14,536 individu kini menjalani proses kuarantin wajib.

“Semalam seramai 157 rakyat Malaysia pulang ke tanah air dan dikuarantin wajib,” katanya.

Mengenai Ops Sanitasi Awam, beliau berkata, sejak 30 Mac lalu sudah melakukan 1,871 operasi sanitasi di 99 zon termasuk di 26 Zon Merah.

“Antara kawasan yang disanitasi 1,302 bangunan kerajaan, 763 tempat awam, 816 pusat perniagaan dan 148 pasar raya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 15, 2020 @ 4:37pm
    d