mutakhir

Penduduk Sungai Lui tetap patuh PKP [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PENDUDUK di tujuh kampung yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah Hulu Langat sebelum ini mengambil kesempatan untuk membeli barang keperluan sebaik perintah itu ditamatkan semalam.

Penduduk Kampung Batu 23 Sungai Lui, Mazilan Musa, 62, berkata, pihak berkuasa mula mengalihkan sekatan jalan di laluan masuk dan keluar di kampung berkenaan pada 2 petang semalam sebaik kerajaan memaklumkan mengenai penamatan perintah berkenaan di kawasan berkenaan.

“Pada hari ini, ramai penduduk ambil kesempatan pergi ke Pekan Batu 18 untuk membeli barang keperluan asas termasuk saya sendiri.

“Malah, saya membeli bekalan makanan dan keperluan asas dalam kuantiti yang banyak iaitu bagi tempoh dua minggu berbanding sebelum PKP,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan, di sini, hari ini.

Beliau yang juga pesara swasta berkata, tiada perbezaan ketara dialaminya ketika menjalani PKPD berbanding PKP.

“Jika dibandingkan situasi ketika PKPD dengan sekarang (PKP), saya rasa tidak banyak perbezaan kerana kami (penduduk) masih perlu kekal berada di rumah dan mengehadkan pergerakan.

“Cuma dari segi pergerakan tidak terlalu terhad seperti mereka yang dikenakan PKPD di bandar kerana kawasan rumah di kampung luas berbanding individu tinggal di kondominium atau apartmen.

“Ramai penduduk kampung lebih risau terhadap haiwan peliharaan seperti ayam, itik dan ikan sepanjang tempoh PKPD kerana bimbang tiada makanan untuk diberikan kepada haiwan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Kampung Batu 23 Sungai Lui, Heri Sumarno M Nawi, 36, berkata, dia berasa lega selepas kampung berkenaan tidak lagi dikenakan PKPD.

“Sebelum ini, saya ada berasa bimbang sekiranya turut dijangkiti Covid-19 memandangkan terdapat jumlah kes yang tinggi dilaporkan di kawasan ini.

“Namun, selepas keputusan ujian saringan dilakukan pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) terhadap saya didapati negatif, saya tidak lagi risau,” katanya yang bekerja sebagai buruh.

Katanya, dia mengambil kesempatan untuk membeli barang keperluan di Pekan Batu 18 hari ini bagi tempoh seminggu.

“Saya mahu memastikan barang keperluan untuk kami sekeluarga sentiasa mencukupi bagi tempoh PKP ini bagi mengelakkan terlalu kerap keluar rumah,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD Hulu Langat ditamatkan kecuali dua kawasan iaitu Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah dan sebuah rumah di Batu 23, Kampung Paya Lebar, Sungai Lui.

Terdahulu, tujuh kampung iaitu Kampung Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Kampung Gemi, Kampung Orang Asli Paya Lebar dan Kampung Orang Asli Sungai Gabai dikenakan PKPD berkuat kuasa 30 Mac hingga 13 April lalu.

Tinjauan wartawan Harian Metro di lokasi mendapati ada beberapa kedai runcit dalam kawasan berkenaan dibuka semula dan dikunjungi penduduk yang mahu mendapatkan bekalan makanan serta keperluan asas.

Tinjauan di sebuah rumah di Batu 23, Kampung Paya Lebar, Sungai Lui yang masih dikenakan PKPD mendapati lokasi itu dikawal oleh dua anggota polis dan dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Difahamkan terdapat tujuh individu yang juga penduduk tetap di kampung berkenaan berada di dalam rumah terbabit untuk dikuarantin selepas seorang daripada ahli keluarga mereka disahkan positif Covid-19.

Selain itu, beberapa anggota polis juga dilihat membuat kawalan di laluan masuk ke Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah yang juga masih dikenakan PKPD.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 15, 2020 @ 5:39pm
    d