mutakhir

Tak patuh PKP ganggu tugas bendung Covid-19 [METROTV]

Oleh Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik tindakan tegas dikenakan terhadap segelintir masyarakat yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, PKP fasa ketiga dilaksanakan bertujuan meneruskan tindakan KKM sedia ada dan menggiatkan lagi usaha mengurangkan kes positif Covid-19 di Malaysia dengan menggunakan pendekatan tertumpu.

“Namun berdasarkan pemantauan yang dijalankan pihak berwajib dan keadaan trafik diperhatikan kebelakangan ini, didapati masyarakat semakin tidak akur kepada arahan PKP.

“KKM khuatir ketidakpatuhan kepada PKP boleh membatalkan usaha keras semua pihak yang diambil setakat ini,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Justeru, Dr Noor Hisham berkata, KKM menyeru kerjasama semua rakyat memainkan peranan masing-masing dalam menangani penularan wabak dan memastikan rantaian jangkitan dapat diputuskan.

“Usaha ini dapat dicapai dengan terus mengamalkan kepatuhan kepada PKP, amalkan tahap kebersihan diri yang tinggi dan jarak sosial selamat.

“KKM juga maklum bahawa terdapat segelintir masyarakat yang perlu hadir bertugas terutama bagi perkhidmatan perlu.

“KKM ingin menasihati mereka supaya mengelak berada di kawasan sesak dan kawasan tertutup secara beramai-ramai misalnya di ruang makan, kekalkan jarak satu meter dan memastikan ruang makan di pejabat kekal bersih termasuk menggunakan disinfeksi bagi memastikan kawasan kerap disentuh adalah bebas daripada kuman,” katanya.

Menurutnya, KKM mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berwajib dalam membantu menguatkuasakan arahan PKP agar tahap keakuran dapat ditingkatkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 15, 2020 @ 6:24pm
    d