mutakhir

2,255 ingkar PKP di Selangor [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SERAMAI 2,255 individu yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditahan di seluruh Selangor bagi tempoh 18 Mac lalu hingga semalam.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya menahan 316 individu yang ingkar arahan PKP fasa ketiga bermula semalam.

“Daripada jumlah itu, 1,050 individu sudah dituduh di mahkamah dengan 93 daripadanya dihadapkan ke mahkamah semalam.

“Memasuki fasa ketiga pelaksanaan PKP, kami akan mengambil tindakan lebih tegas termasuk terus menahan mereka yang ingkar.

“Ia adalah isyarat jelas kepada masyarakat bahawa kami sangat serius dan tidak akan berkompromi dalam menangani perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Sistem Rondaan ‘Aberdeen’ Kereta Peronda Polis di Balai Polis Damansara, Petaling Jaya, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kadar pematuhan PKP di daerah itu menurun sebanyak lima peratus bagi tempoh tiga hari lalu.

“Sebelum ini, kadar pematuhan daerah ini dianggarkan 90 peratus, namun ia menurun kepada 85 peratus bagi tempoh tiga hari lalu dengan pertambahan kenderaan dan jumlah orang ramai di lokasi awam.

“Antara punca kadar pematuhan menurun bagi tempoh itu dipercayai kerana orang ramai sudah mula bosan tinggal di rumah kerana kebanyakan mereka memberi pelbagai alasan tidak munasabah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 16, 2020 @ 12:32pm
    d