mutakhir

Masyarakat Orang Asli terima sumbangan

Oleh Samadi Ahmad

SERAMAI 1,400 ketua isi rumah (KIR) Orang Asli sudah menerima bantuan Tabung Musa’adah Covid-19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sumbangan berjumlah RM1.56 juta itu hasil sumbangan individu, agensi korporat dan badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata, sumbangan dalam bentuk barangan keperluan itu sudah disalurkan kepada masyarakat Orang Asli di Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Selaku agensi agama persekutuan JAKIM tidak meminggirkan golongan terbabit dan memahami kepayahan berdepan wabak Covid-19.

“Alhamdulillah sumbangan ini diterima daripada pihak luar dan kita mengucapkan terima kasih atas inisiatif membantu kelangsungan hidup masyarakat Orang Asli,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkifli berkata, hari ini, seramai 152 KIR masyarakat Orang Asli dari Kampung Orang Asli Sungai Lui, Jempol, Negeri Sembilan menerima bantuan dari JAKIM.

Menurutnya, bantuan berkenaan diagihkan Penggerak Masyarakat Orang Asli dan diselaraskan oleh

Penyelaras Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi dimanfaatkan 504 orang penduduk.

“Sumbangan itu diagihkan tanpa mengira agama bagi membuktikan komitmen dan usaha kerajaan khususnya agensi agama bagi mempamerkan keindahan Islam.

“Semoga sumbangan yang tidak seberapa itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung Masyarakat Orang Asli di pedalaman,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 16, 2020 @ 2:27pm
    d