mutakhir

Talian Kasih terima 135 aduan kes keganasan rumah tangga

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

SEBANYAK 135 panggilan berhubung kes keganasan rumah tangga (KRT) direkodkan melalui Talian Kasih di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehubungan itu Polis Diraja Malaysia dan KPWKM ingin meminta orang ramai terutama jiran tampil dan melaporkan kes keganasan rumah tangga ini melalui Talian Kasih 15999 atau WhatsApp ke talian 019-261 5999.

“Kita mohon mereka membantu kerana mungkin ada ramai yang terbabit dan tidak berani membuat aduan dan sebagainya atau telefon mereka dirampas sehingga tiada ruang untuk membuat aduan.

“Jadi saya memohon kepada jiran tetangga supaya membantu jika kedengaran sesuatu yang menghairankan di sebelah rumah teruslah membuat aduan melalui Talian Kasih atau WhatsApp,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Ismail berkata, PDRM akan bertindak segera melakukan siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Saya doakan semoga rumah tangga kita semua kekal aman dan damai walaupun sudah sebulan berada di rumah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 16, 2020 @ 3:21pm
    d