mutakhir

Ingkar PKP, miliki syabu

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

BURUH dihukum penjara dan denda oleh Mahkamah Majistret Jelebu hari ini kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majistret Rahimah Rahim menjatuhkan hukuman penjara lima hari dan denda sebanyak RM1,000 terhadap Muhammad Hafiq Bashir Loo, 23, dari Bertam Hulu, Melaka selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati melakukan pergerakan dari satu tempat ke satu tempat lain iaitu dari Lenggeng, Seremban ke Kuala Klawang dan gagal memberi alasan munasabah apabila ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu pada 6.10 petang, 11 April lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 ( PPPB) dan boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1) peraturan yang sama.

Rahimah turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama satu bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Di mahkamah yang sama, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 6.10 petang 11 April lalu didapati memiliki syabu seberat 2.53 gram ketika diperiksa dalam SJR di hadapan IPD Jelebu.

Tertuduh yang mengaku bersalah dikenakan ikat jamin sebanyak RM2,800 dengan seorang penjamin tempatan sebelum sebutan laporan kimia pada 18 Jun ini.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hishami, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 16, 2020 @ 3:35pm
    d