mutakhir

1,315 ditahan langgar PKP

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

SERAMAI 1,315 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga dilaksanakan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka yang ditahan kerana ingkar PKP itu merangkumi 1,226 individu direman dan 89 individu dijamin polis.

Menurutnya, PDRM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 813 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 556,548 kenderaan.

“Sebanyak 56,052 pemeriksaan mengejut diadakan di seluruh negara dengan 6,364 premis diperiksa pihak berkuasa.

“Seramai 312 individu telah dituduh di mahkamah atas kesalahan mengingkari PKP manakala jumlah tangkapan kumulatif sehingga semalam adalah seramai 11,017 individu,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga memandang serius penularan berita palsu di mana PDRM bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka 220 kertas siasatan berkaitan berita palsu Covid-19.

“Daripada jumlah itu, 152 kes masih dalam siasatan manakala 24 kes dituduh di mahkamah dan sebanyak 13 kes mengaku bersalah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 16, 2020 @ 3:49pm
    d