mutakhir

Lega bengkel kereta boleh operasi

Oleh Md Fuzi Abd Lateh

PENDUDUK lega apabila pengusaha bengkel kenderaan dan kedai alat ganti komponen dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga bermula semalam. Pengusaha bengkel kereta di Taman Adenium Bukit Beruntung, Mohd Hanafi Idris, 46 berkata, sejak bengkel ditutup 18 Mac lalu ramai pelanggan sering menghubungi untuk mendapatkan perkhidmatan diperlukan.

“Saya bersyukur kerana bengkel dibenarkan beroperasi. Di bengkel ini, kami menekankan aspek keselamatan diri lengkap kepada pekerja dan pelanggan.

“Pelanggan yang datang mesti memakai penutup hidung dan mulut bagi tujuan penjagaan kesihatan,” katanya.

Menurutnya, kebenaran beroperasi yang dikeluarkan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) bermula 1 April lalu dimanfaatkan sebaik mungkin agar lesen perniagaan mereka tidak ditarik balik sekiranya melanggar syarat.

Penduduk, Tukiman Tunipang, 54, berkata, tidak semua penduduk mempunyai kenderaan baru yang sempurna malahan ada yang perlu membaiki komponen yang mengalami kerosakan.

“Keprihatinan kerajaan amat kami hargai. Diharap pengusaha dan pelanggan patuh arahan diberikan kepada mereka.

“Saya dapat tukar tayar kereta yang bocor kerana banyak bengkel dibuka walaupun hari minggu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 16, 2020 @ 5:29pm
    d