mutakhir

Siswa positif kuliah dalam talian

Oleh Nazri Abu Bakar

PELAKSANAAN pembelajaran jarak jauh dalam talian (ODL)yang dijalankan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjalan dengan lancar dan mendapat maklum balas positif mahasiswanya.

Penuntut universiti berkenaan, Khairin Naim Kamarizal, 19, daripada Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media berkata, dia bersyukur apabila ODL dilaksanakan bermula sejak Isnin lalu hingga 1 Julai ini.

Menurutnya, walaupun dia masih berada di kolej kediaman ketika ini tetapi kaedah pengajian secara dalam talian itu banyak kelebihannya.

“Agak selesa belajar di kolej kediaman ini berbanding kalau berada di kampung kerana boleh terganggu dengan adik-beradik yang lain.

“Saya dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pengajian dengan suasana di kolej yang tenang dan mendamaikan.

“Capaian Internet di kolej juga jauh lebih baik berbanding di rumah. Tambahan pula, kerajaan juga memberikan bantuan data sebanyak 1GB sehari secara percuma,” katanya.

Penuntut Fakulti Sains Komputer dan Matematik pula, Nurul Hafiza Suhardi, 19, berkata, ODL berlangsung dengan selesa menerusi kemudahan mendapatkan akses Internet dengan dibantu pensyarah yang bertanggungjawab dan prihatin.

Menurutnya, tenaga pengajar sentiasa prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh mahasiswa termasuk masalah capaian Internet .

Katanya, pensyarah sentiasa berusaha untuk mencari jalan penyelesaian bagi menyempurnakan pembelajaran ODL supaya berjalan lancar walaupun melalui situasi pembelajaran baharu dan kelainan daripada kebiasaan.

Seorang lagi penuntut, Muhammad Hafiz Abd Rahman, 24, berkata, kaedah ODL itu menyaksikan perubahan konsep pengajaran dan pembelajaran ketika ini.

Menurutnya, ODL juga banyak memberi manfaat kepadanya kerana tidak perlu menangguhkan sesi pembelajaran ke semester hadapan.

Sementara itu, Rektor UiTM Melaka Prof Dr Abd Halim Mohd Noor berkata, perubahan kaedah pengajaran dan pembelajaran berkenaan dilakukan agar dapat diteruskan walaupun berhadapan dengan PKP ketika ini.

“Apa yang penting adalah setiap pelajar mendapat akses kepada sumber pembelajaran dan perbincangan subjek daripada pensyarah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 16, 2020 @ 5:32pm
    d