mutakhir

930 individu langgar PKP di Kuala Lumpur ditahan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SERAMAI 930 individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditahan di ibu kota ini bagi tempoh 18 Mac hingga semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, jumlah itu membabitkan 828 lelaki dan 102 wanita termasuk 502 warga asing berusia antara 16 hingga 86 tahun.

Katanya, semua individu berkenaan ditahan kerana didapati ingkar arahan PKP termasuk tidak mengendahkan amaran atau nasihat, tidak memberikan kerjasama dan tidak mematuhi arahan selain memberikan alasan tidak munasabah mengenai pergerakan mereka.

“Bagi PKP fasa pertama, seramai 187 lelaki dan 13 wanita ditahan, manakala 572 lelaki dan 84 wanita pula ditahan pada fasa kedua serta 69 lelaki dan 5 ditahan wanita, semalam (fasa ketiga).

“Daripada jumlah itu, 408 individu sudah dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 22(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988, Peraturan 7 dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Selain itu, mereka juga dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 25(1) Peraturan Pendaftaran Negara dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mazlan berkata, kadar jenayah indeks di ibu kota ini menunjukkan penurunan bagi fasa pertama dan kedua kerana peningkatan jumlah sekatan jalan raya, rondaan kereta peronda polis (MPV) serta Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di sekitar pusat bandar ini.

“Selain itu, elemen balai polis dan kewujudan pasukan pemantau yang berperanan untuk menguatkuasakan pelaksanaan PKP juga membantu penurunan kadar jenayah.

“Bagi memastikan PKP berjaya membendung penularan Covid-19, Polis Kuala Lumpur terus mempergiatkan sekatan jalan raya dan pemeriksaan bagi memastikan orang ramai mematuhi PKP dengan pengecualian hanya diberikan kepada individu berkhidmat dalam perkhidmatan penting.

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap individu didapati ingkar arahan PKP bagi fasa ketiga bermula semalam hingga 28 April nanti.

“Kami meminta kerjasama orang ramai supaya mematuhi arahan PKP supaya dapat memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460670 atau mana- mana balai polis berhampiran,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 16, 2020 @ 6:42pm
    d