mutakhir

Penjara Pengkalan Chepa sudah penuh

Oleh Siti Rohana Idris

PERTAMBAHAN penghuni Penjara Pengkalan Chepa di Kota Bharu termasuk dalam kalangan pesalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dikhuatiri akan menyebabkan kesesakan dan jangkitan penyakit.

Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob berkata, sehingga kini 41 pesalah PKP ditempatkan di penjara itu dan jumlahnya berkemungkinan meningkat dari semasa ke semasa.

“Kapasiti banduan di penjara ini adalah 1,500 orang, namun jumlah semasa sudah cecah 3,000 penghuni, yang jauh melebihi kapasiti asal.

“Berikutan kemasukan berterusan, ia boleh jadi terancam kerana kesesakan menyebabkan banduan tertekan dan tidak selesa.

“Selain itu kita bimbang jangkitan penyakit seperti kudis dan tibi,” katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Dalam pada itu, Mat berkata, pihaknya mempunyai pelan kontigensi dalam menghadapi penularan wabak Covid-19 dalam kalangan banduan dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, setakat ini tiga banduan menjadi pesakit di bawah pemantauan (PUI) dan diasingkan mengikut SOP, namun pemeriksaan kali kedua yang dibuat ke atas mereka dapati negatif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 16, 2020 @ 6:44pm
    d